Tuesday 23 May 2017

Filled Under:

'Ini sejarah hidup saya makan gerai tepi jalan semahal ini'


KUALA LUMPUR - Viral di media sosial seorang pelanggan mempertikaikan harga hidangan yang dikenakan terhadapnya dianggap tidak masuk akal. 

Pengadu yang juga peniaga dan bapa tunggal itu berkata, tidak pernah dalam sejarah hidupnya makan di gerai tepi jalan dikenakan caj makanan semahal itu. 

"Cuba bayangkanlah kalau terkena pada orang yang susah, apalah perasaan mereka? Kalau tak mampu bayar, kena cuci pinggan? 

"Saya juga berniaga, selalu pergi ke pasar dan sudah biasa dengan harga pasar. Tetapi saya selalu letakkan diri saya pada pelanggan agar saya dapat rasa apa yang pelanggan rasanya," katanya. 

Berdasarkan gambar, pelanggan terbabit mengambil lauk sayur, nasi penuh, dua ketul sotong dan seekor udang dan dikenakan caj RM32.00.

Bagaimanapun peniaga gerai berkenaan kesal dengan tindakan pelanggannya itu memilih untuk viralkan rasa tidak puas hatinya di media sosial tanpa membuat aduan kepadannya terlebih dahulu. Malah, turut menjelaskan harga bagi setiap lauk yang diambil.

"Harga udang RM15 seekor, sotong RM7 seketul dan awak ambil dua ketul. Sayur RM1 dan nasi penuh pinggan pula RM2. Harga telah dinyatakan pada senarai yang disediakan. Kenapa tak tengok dulu?

"Kenapa tak complaint semasa makan tempoh hari? Sekarang awak nak salahkan saya pula. Awak nak makan untuk awak juga, bukan untuk orang lain. Kalau awak nak murah, makan macam kawan awak itu," katanya. 

Menurutnya lagi, tindakan lelaki itu telah merosakkan nama kedainya. Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, peniaga terbabit mahu memulangkan wang RM32 dan menghalalkan makanan yang dimakan lelaki itu tempoh hari.

Walaupun begitu, beliau enggan menghalal tindakannya yang telah viralkan perkara itu di media sosial.
"Saya halalkan apa yang awak makan dan saya takkan halal apa yang awak viralkan," katanya. 

Lelaki berkenaan menolak tawaran itu dengan baik dan memberi nasihat agar peniaga terbabit berniaga dengan ikhlas.





Sementara itu di media sosial, rata-rata netizen harga yang dikenakan tidak munasabah. 

Walau apa pun pandangan kita semua, gunakan kelebihan kita sebagai pengguna. Jika tidak bersetuju dengan harga yang dinyatakan, pengguna boleh memilih untuk tidak terus makan di situ. Amalkan bertanya tentang harga makanan sebelum menjamu selera. - The Reporter





0 comments:

Post a Comment